Thursday, April 30, 2009

SEHARI SATU CATATAN - BERITA AKHBAR

24 Julai, 2008

Membaca akhbar Utusan Malaysia pagi ni, saya teringat Buletin Utama TV3. Kisah seorang bapa yang suntuk akalnya mengambil nyawanya sendiri dan juga nyawa anak-anaknya yang masih kecil seusia empat dan satu tahun.

Sambil membaca kisah tersebut di Utusan Malaysia, saya berbincang dengan PM Khas di pejabat akan kurangnya lelaki melayu yang berkualiti pada masa kini. Cuma disebabkan kekecewaan alam rumahtangganya, tindakan nekad telah diambil. Kami percaya, tujuannya tidak lain adalah untuk membuat isterinya (ataupun bekas isteri, kerana mereka dalam proses penceraian?) menyesal akan keputusan untuk berpisah dengan beliau.

Kalau wanita, seorang perempuan dan juga ibu, akan ditinggal suami, saya kira mereka akan berdepan dengan berbagai masalah terutamanya mengenai sara hidup untuk membesarkan anak. Rata-rata penceraian, anak-anak adalah di bawah tanggungjawab ibu dan tanggungan bapa. Namun, seperti yang saya katakan tadi, disebabkan lelaki melayu semakin kurang kualitinya, merasakan, dengan tidak memberi nafkah adalah cara yang terbaik untuk mengajar si isteri.

Jadi, saya kira, mengapa ataupun apalah yang digusarkan sangat dengan status seorang duda, tanpa dibebani dengan tanggungjawab dan tanggungan terhadap anak perlu merasa begitu menderita sehingga mengambil keputusan untuk mengambil nyawa sendiri dan juga anak-anak. Nauzubillah. Kita sudah berada di akhir zaman.

SEHARI SATU CATATAN - PERTANDINGAN 3K '2008


17 Julai, 2008

Seawal pukul 8.30 pagi, saya bersama dengan PPS Temerloh (Lela) dan PPS Kuala Krau (Kak Han) menjadi Panel Hakim Pertandingan 3K peringkat Parlimen Kuala Krau.

Hari ini kami menghabiskan lawatan ke 8 buah TBK KEMAS di DUN Kerdau dan Jengka. Memang memenatkan tapi kekenyangan. Di setiap kelas, kami di jamu dengan bermacam-macam juadah. Niat untuk mengawal makan, tiba-tiba hilang dari ingatan.

Berbanding dengan TBK di DUN lain, DUN Jengka TBKnya lebih menonjol. Pemaju-pemaju Masyarakat Jengka lebih bersedia menghadapi pertandingan 3K ini dengan persiapan rapi di kelas-kelas mereka. Saya senang sekali dengan sambutan yang saya terima dari satu TBK ke TBK yang lain. Kerjasama dari AJK TBK juga amat memuaskan.

Walaupun kebanyakan TBK KEMAS di DUN Jengka masih lagi menggunakan bangunan lama, namun, persekitaran dan keadaan kelasnya sangat memuaskan. Saya harap ini bukan sahaja semata-mata persediaan bagi menghadapi pertandingan 3K tetapi merupakan keadaan sebenar di TBK.

Saya juga sangat berbesar hari dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi & AJK TBK yang sentiasa memberi kerjasama kepada kami.

Saya percaya, sekiranya TBK KEMAS melaksanakan dan menggerakkan TBK sebagaimana garis panduan yang ditetapkan, dan mendapat kerjasama yang erat dari kalangan AJK, TBK KEMAS pasti dapat menzahirkan anak-anak muridnya dengan cemerlang.

Sekian.


Monday, April 27, 2009

SEHARI SATU CATATAN - PENGUCAPAN AWAM

31 Januari, 2008


Berada di Institut Latihan KEMAS, Kuantan menghadiri Bengkel Isu-isu semasa dan pengucapan awam semenjak semalam. Bengkel yang dijadualkan berakhir esok pesertanya terdiri dari Pegawai-pegawai dan Penyelia-penyelia KEMAS Negeri Pahang.

Setakat ini, dalam pengamatan, mendapati masih ramai dikalangan peserta kursus ini masih lagi gugup apabila dikehendaki bercakap di khalayak ramai. Saya teringat, dapatan saya dari bacaan-bacaan saya, melalui satu tinjauan umum, ketakutan yang paling besar dalam diri manusia ialah ketakutan bercakap di khalayak ramai iaitu sebanyak 41% selain dari ketakutan pada air yang dalam sebanyak 13%.

Pengalaman saya, pengucapan awam ini memerlukan tenaga yang banyak disamping memerlukan kita sentiasa berada di dalam keadaan bertenang. Walaupun telah menghadiri beberapa kursus pengucapan awam, juga setelah kerap berucap dikhalayak ramai, itupun kerana tugas yang perlu dilaksanakan, perasaan gementar itu sentiasa ada, perasaan berdebar susah nak dihapuskan.

Pihak pentadbiran dan pengurusan perlu memikirkan cara yang lebih efektif untuk menambahbaik jentera KEMAS ini.